Isnin, 9 Mei 2016

Bahan Pengering

Alat Bantu Dengar atau alat bantu pendengaran perlu dijaga dengan rapi bagi memastikan fungsinya optimal. Seperti alat elektronik lain, alat bantu pendengaran tidak boleh terdedah kepada air. Walaupun teknologi kalis air kini semakin berkesan, kita harus berhati-hati dengan alat bantu dengar. Bukan semua alat bantu pendengaran dihasilkan dengan teknologi kalis air.

Oleh itu, alat bantu dengar sepatutnya dimasukkan ke dalam bekas kedap udara dengan bahan pengering setiap malam. Bahan pengering dewasa ini, lebih berkesan dan berupaya mengeringkan alat dengan berjaya. 

Bahan pengering juga ditambahkan dengan pewarna yang sensitif terhadap wap air atau kelembapan. Ini bertujuan memudahkan kita untuk mengetahui sama ada bahan pengering masih berkesan atau sudah perlu ditukar atau dipanaskan.  


Kalau diperhatikan gambar di atas, bahan pengering berwarna jingga itu menandakan ia kering. Manakala bahan pengering yang sudah bertukar ke warna kuning keputihan menandakan ia basah dan tidak berupaya mengeringkan alat bantu pendengaran. 

Terdapat juga bahan pengering berwarna biru bila kering dan akan bertukar ke warna merah jambu bila basah. 

Yang penting, bahan pengering dengan bahan penanda kekeringan dapat memastikan alat Bantu pendengaran sentiasa dan justeru itu menjaga mikrofon alat bantu pendengaran supaya berfungsi dengan baik.


 

Kedudukan acuan telinga


Acuan Telinga penting dalam pemasangan alat bantu pendengaran yang berkesan. Gambar di atas menunjukkan kedudukan acuan telinga silikon yang betul berbanding kedudukan acuan telinga yang salah atau kurang memuaskan. 

Acuan Telinga yang dibuat oleh audiologis yang berpengalaman amat penting bagi memastikan bentuk yang diacu adalah tepat. Dengan acuan tepat, acuan sebenar untuk telinga akan duduk dengan sempurna di dalam ruangan telinga - "Concha Bowl" serta saluran telinga - "Ear Canal" 

Selain daripada pengambilan acuan yang tepat, pengguna juga perlu belajar memasangkan Acuan Telinga dengan kemas. 

Kalau diperhatikan gambar sebelah kanan yang menunjukkan kedudukan acuan telinga yang salah, kita dapati terdapat ruangan antara acuan telinga dengan telinga pengguna. Keadaan ini menyebabkan sekurang-kurangnya 2 masalah. 

1) Kesan luka akibat tekanan pada kawasan telinga
2) Suara alat bantu pendengaran menjadi perlahan. 

Luka akibat tekanan

Kedudukan acuan telinga yang kurang kemas akan menyebabkan kawasan tertentu telinga pengguna akan mengalami tekanan tinggi. ("Pressure Sores") Kalau kita lihat tanda-tanda pada gambar di atas, walaupun posisi acuan telinga cuma kurang sedikit daripada yang sepatutnya, tekanan pada kawasan bertanda akan berlarutan lalu menyebabkan kesakitan. 

Penyelesiannya ialah untuk memutarkan acuan telinga ke belakang. Dengan posisi yang tepat, pengguna alat bantu akan lebih selesa dan justeru itu memakainya untuk jangka masa yag lebih lama dengan selesa. 

Kehilangan kuasa bunyi
Acuan telinga berfungi untuk memastikan semua bunyi yang dihasilkan oleh alat bantu pendengaran sampai di telinga dengan lebih berkesan tanpa kebocoran suara. Pengguna yang mengalami masalah pendengaran yang lebih parah memerlukan acuan telinga yang lebih besar atau lebih ketat bagi memastikan tiada kebocoran suara. Pengguna yang mengalami masalah pendengaran yang lebih ringan hanya perlu acuan yang lebih kecil atau tiada acuan telinga diperlukan. 

Namun dengan ukuran yang paling kemas pun, pengguna perlu memastikan acuan dipasangkan dengan betul untuk mengelakkan masalah kehilangan kuasa bunyi. Iaitu kuasa yang dikira untuk pendengaran yang memuaskan tidak akan berkesan kalau berlaku kebocoran akibat pemasangan yang bocor. 

Maka latihan pemasangan harus dilakukan dengan tepat. Lebih bagus lagi kalau orang yang dikasihi juga datang bersama untuk melihat dan memastikan cara pemasangan acuan yang benar. 

Kalau masih ragu dengan pemasangan acuan telinga yang tepat sempurna dan bagus, sila hubungi pusat alat bantu pendengaran terdekat atau email Jensen Hearing di jensenhearing@hotmail.com untuk bantuan yang lebih tepat lagi. 

Jensen Hearing boleh dihubungi di talian +606-2881407 Melaka, Malaysia